Tuesday, July 17, 2018

Memupuk minat anak berniaga


"Ibu, dekat koperasi sekolah ada jual coklat bubble rice dalam botol kaca, nampak sedap tapi mahallah ibu. Adik tak nak habiskan duit belanja tapi adik teringin nak rasa." Aina, anak kedua yang membahasakan dirinya adik bercerita padaku.

"Adik tak nak juga susahkan ibu" sambungnya lagi. Waktu itu, bubble rice coklat jar memang menjadi viral.

"Bagaimana kalau adik buat sendiri? Adik boleh makan dan boleh ambil tempahan dengan kawan-kawan nanti. Tetapi adik kena jual dalam harga mampu beli tetapi kena juga sedap dan kena ada juga keuntungan walaupun kecil. Adik pernah dengar - Business is also helping people" ulasku.

Begitulah titik permulaan, perjalanan jualan mini choco rice crispy dan mini moist kek oleh Aina.

Bagiku, memupuk minat anak untuk berniaga elok bermula di alam persekolahan supaya dapat menanam keyakinan diri dan mengasah skill pemasaran dan menanam semangat keusahawanan. 
   
Syukur alhamdulillah kerana mempunyai anak-anak yang rajin dan bersemangat untuk menerokai alam keusahawanan ini. Walaupun mereka terpaksa mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyiapkan tempahan. Permintaan adalah dari rakan-rakan dan guru-guru, tetapi alhamdulillah sentiasa mendapat sambutan yang baik.

Buat masa ini, mereka cuma memfokuskan kepada dua jenis produk iaitu :

                                             1) Mini Chocolate Moist Cake


                                             2) Mini Bubble Rice Chocolate Crispy


Kedua jenis produk ini dijual dengan harga RM1.00 per unit. Semoga impian anak-anak ibu untuk masa akan datang menjadi seorang usahawan, akan menjadi kenyataan. Aamin..


Ibu yang memberi joran bukan ikan,

Sima Sidek

Catatan hati seorang ibu






Muhamad Aiman Farhan,
Adalah sebahagian dari jiwa ibu,
Satu-satunya putera ibu..
Melepaskan Aiman sebenarnya..
tidak ubah seperti mencabut hati ibu sendiri.
Andai bisa, tentu ibu sentiasa ingin melihat Aiman dalam jangkauan mata..

Namun ibu sedari,
Tangan ibu sahaja, 
Tidak cukup kuat untuk membimbing,
Masa ibu sentiasa kekurangan,
Ilmu ibu tidak mencukupi..

Ibu mana yang tidak cinta anak-anak,
tetapi oleh kerana terlalu mencintai anak-anak,
membuatkan cinta ibu seringkali buta,
Tidak sanggup andai melihat kekurangan anak-anak,
dilonggokkan dengan playstation, 
dikhayalkan dengan handphone,
membuang masa yang ibarat emas.

Ibu mana yang tidak menyayangi anak-anak,
tetapi oleh kerana terlalu sayang,
sanggup menjadi benteng dari ketegasan si ayah..

Menyedari kelemahan ibu,
dengan redha, ibu lepaskan Aiman jauh dari rumah,
jauh didepan mata ibu,
Hanya doa dan harapan yang boleh ibu sandarkan,
yang boleh buat ibu tersenyum,
yang bakal membentuk Aiman menjadi pemimpin,
Harapan kiranya keputusan ibu ini,
agar Aiman melangkah menuju jalan ketakwaan,

Dengan segala kerendahan diri,
Diharap para ustaz dapat memberi bimbingan, tunjuk ajar,
Semoga aiman menjadi huffaz dan penerus perjuangan agama masa depan
Aaminn..





Ibu kepada seorang hero,

Sima Sidek